Followers

Tuesday, July 31, 2012

Product Review-Pencuci Muka,Ubat dan Krim untuk hilangkan JERAWAT

Hai, Salam.

Hari ni aku melantik diri aku jadi pakar kulit sekejap. Walaupon kulit muka, kaki, tangan dan badan aku tak ada la semulus bayi. Aku nak juga share! Nak juga! Eh, korang tahu ke kaki, tangan and badan aku mulus ke tak? Ha, nak suruh buktikan la tu. Nakal you!

Aku share pasal kulit muka je la eh. Sebab tu je aku rasa ada perubahan paling ketara dalam hidup aku. Seperti gambar dibawah, ni kulit muka aku masa penuh jerawat and parut jerawat. Ala, nak kata tak teruk la tu kan? Gambar ni aku dah edit la. HAHA

Okey, nampak tak kulit aku yang macam permukaaan bulan tu. Masa ni sem 1 kat UKM.

And aku ada masalah kulit berminyak yang sangat dasyat.
Produk yang aku pakai ni aku beli dari wani. Wani beli di salah sebuah klinik kulit di Sungai Petani, Kedah. Jauh kan? So, kalau ko tanya aku kat mana kawasan terdekat nak dapatkan produk ni aku akan jawab "Maaf la sayang, saya tak tahu". Every month aku akan minta wani belikan tuk aku satu set. Harga untuk satu set adalah RM100 sahaja. Satu set ini bermaksud ada pencuci muka, ubat, krim siang dan krim malam. Tahan selama sebulan kalau kau ni orang kaya. Aku guna satu set produk ni boleh tahan 2 bulan. Cuma ubat tu je aku kena beli tambah tiap bulan. Dalam set produk dia bagi 30 biji je. Sehari makan sebiji sahaja selepas makan. Ingat! Selepas makan!

ini rupanya facial cleanser yang aku pakai.
Ingat ye, Makan sebiji sahaja selepas makan.
Krim malam dan siang. Boleh tahan 2 bulan.
Aku dah menggunakan produk ini selama hampir setahun. Dan kesan nya adalah seperti dibawah.


Ahah kau, siap dengan effect glitter-glitter lagi kan. Sebagai kesan yang adil. Aku tak edit apa-apa untuk softkan kulit muka. Just tambah glitter tu je. Okey la sikit kan dari dulu. Eh, bagi aku okey sangat! Sebab setelah hampir 6 tahun aku hidup diambang kemurungan gara-gara ditemani jerawat, akhirnya rasa macam syukur "YaAllah, Kau telah temukan aku dengan penawar yang sesuai dengan aku dan ini berlaku dengan izinMu jua YaAllah."

Dah macam penjual produk MLM dah kan. Harap maklum, saya tidak berminat nak join mana-mana MLM. Kalau ko ajak aku Makan Lagi Makan aku suka. Bukan Multi Level Marketing.

Kalau muka kau berparut jerawat dan berlubang. Nak tahu bagaimana aku mengatasinya? Next entry boleh. Malas dah nak taip. HAHAHA. Bye!

with❤:izan®

Thursday, July 26, 2012

Jemputan makan nasi minyak

Hai, salam.

Hari ni aku plan nak buat nasi minyak, ayam masak merah and sayur campur untuk berbuka. Biasa lah kan, time bulan puasa ni mana nak ade kenduri. Tiba-tiba tekak aku rasa nak makan nasi minyak. Respi aku ambil dari emak.

Jangan memandai kata aku nak buat jemputan makan nasi minyak pula. InsyaAllah bila sampai masanya nanti merasa la korang makan nasi minyak. HAHA.

Resepinya aku kongsi kemudian. Kalau aku sempat ambil gambar, aku tayang okey. Ni first time nak buat ni. Kalau aku tak tayang gambar or tak share resepi paham-paham la ye. Maknanya tak jadi la nasi minyak ku itu. 

Love you alls! 

p/s: Jangan lupe terawih ye anak-anak.

with❤:izan®

Monday, July 23, 2012

Ramadhan Kareem

Hai, salam.



Apa khabar puasa anda hari ni? Harap semua puasa dengan betul ye. Hari ni dah masuk hari ketiga kita semua sebagai umat Islam menjalani ibadah puasa. Harapan aku untuk Ramadhan kali ini :
1. Menjalani ibadah puasa dengan semaksimanya. (Kalau dah datang bulan, harap maklum)
2. Sebolehnya nak memaksimakan solat terawih.
3. Menghabiskan senaskah al-Quran.
4. Tidak membazir semasa berbuka.


Puasa tahun ini terasa perbezaannya tanpa Angah. Al-Fatehah.

with❤:izan®

Friday, July 20, 2012

Angah (Part 5) - Doa kalian bawa Angah ke Syurga hendaknya

Hai salam.

Hari ni aku kuat sikit nak buat entry pasal Angah. Mungkin ini entry terakhir pasal Angah. Akan aku pendekkan sebagai penyudah yang senang untuk anak-anak Angah dan anak-anak aku kelak faham bagaimana penyudah hayat ibu dan mak ngah mereka. Kepada anak-anak Angah, maksu akan cuba sedaya upaya bagi kasih sayang mak su pada kalian. Mak su sayang kalian macam mana ibu sayang kalian. Mak su garang sebab mak su nak kalian jadi anak-anak yang soleh dan solehah buat doakan ibu di sana.

25 June 2012 (Isnin)
Aku bawa emak pulang tidur di rumah sewa aku. Esoknya sebelum pergi kerja, (area mont kiara) aku hantar emak pergi hospital. Pagi memang aku tak sempat nak lawat Angah. Balik kerja aku minta sejam awal selama 3 hari iaitu isnin, selasa dan rabu. Pada jam 5 petang aku akan rushing ke hospital Sungai Buloh untuk lawat Angah. Pada hari isnin ni, keadaan Angah masih juga dalam keadaan tidak stabil. Pendarahan pada otak Angah tidak berhenti. Kami masih usahakan memberi Angah air yasin yang dibacakan oleh anak-anak tahfiz. Air ni Abang Pen (Abang aku yang ke2) minta dari sekolah tahfiz di Sungkai. 

Alhamdulillah, Angah boleh terima melalui air susu yang nurse masukkan melalui hidung Angah. Alhamdulillah sekali lagi, saat aku melawat Angah jam 6 petang hari Isnin, kami sekeluarga dikhabarkan bleeding pada otak Angah dah berhenti. Malam tu aku bawa mak balik tidur rumah sewa aku semula.

26 June 2012 (Selasa)
Aku hantar emak ke hospital seperti biasa sebelum pergi kerja. Petang lepas balik kerja aku rushing nak lawat Angah. Kebetulan masa tu mak ada dalam ICU teman Angah. Kami bersembang dengan Dayah (Nurse yang bekerja dalam ICU, orang Trolak juga). Semasa aku sedang bersembang dengan Dayah mengenai keadaan Angah, dan semasa ni Dayah cerita tentang ujian yang doktor akan buat pada Angah esoknya. 

Dimana doktor akan buat ujian ke atas otak Angah. Doktor akan cabut bantuan pernafasan Angah dan kiranya Angah batuk atau mampu gerakkan kelopak mata atau apa sahaja anggota badan Angah even sedikit, maknanya otak Angah masih berfungsi. Semasa aku dan emak mendengar penerangan Dayah, tiba-tiba Dayah tunjukkan pada kami mata Angah bergerak-gerak. Saat ni aku dengan emak mengalirkan air mata syukur yang amat sangat. Mak bisikkan pada Angah,

" Alee ada dengan mak, anak-anak Angah sihat. Angah kena kuat. Mak ada ja dengan Angah"

Aku hanya mampu mencium dahi dan pipi Angah. Kemudian aku keluar untuk memberi peluang pada ayah pula masuk teman Angah.

27 June 2012 (Rabu)
Seperti biasa selepas kerja aku terus pergi tengok Angah. Masa ni ayah lama sangat dalam ICU. Aku masuk ayah tengah ucapkan kalimah syahadah untuk Angah. Berkali-kali ayah ucapkan kalimah Syahadah di telinga Angah. Aku sebak. Tapi aku tahan air mata ini. Anak-anak angah dah dibawa masuk melawat ibu mereka siang tadi. Abang (suami Angah) dapatkan surat kebenaran doktor untuk benarkan anak-anak Angah melawat ibu mereka mungkin buat kali terakhir mungkin. 

Ujian otak yang dijalankan pada Angah tidak memberikan petunjuk positif. Doktor memberikan Abang (suami Angah) pilihan. Pilihan pertama, tebuk leher Angah dan buatkan lubang pernafasan untuk Angah bernafas. Namun untuk Angah sihat dan sedar seperti biasa adalah tipis. Ianya hanya akan melambat pemergian Angah dari dunia yang sementara. Namun lama kelamaan Angah akan pergi juga. Pilihan kedua adalah cabut bantuan pernafasan, dan secara perlahan Angah akan pergi. Tempoh maksimum adalah selama 3 hari sahaja. 

Ayah tenung muka Angah. Saat ni air mata Ayah tumpah juga. Dah lama Ayah tahan, tapi hari ni tewas. Aku gengam tangan Angah. Aku cium pipi dan dahi Angah. Aku terbayangkan segala kasih dan sayang Angah pada aku selama aku hidup bersama Angah. Segala memori saat aku kecil sampai sekarang semua kembali segar dalam ingatan. Moment yang aku paling ingat sekali adalah, tiap kali Angah balik bercuti ke Trolak dari Uitm Shah Alam, Angah akan belikan aku, acik dan abang pen Dunkin Donut yang Angah tapau dihentian Puduraya. Tiap kali! Tak pernah lupa walau sekali.

Menurut emak, perbincangan dengan ayah dan abang. Ayah tak mahu menyeksa Angah dengan membuat lubang pada leher untuk melambatkan pemergian Angah. Abang pon bersetuju untuk mencabut bantuan pernafasan Angah. Kata emak, mungkin selepas Maghrib esok (28hb June) baru abang akan benarkan doktor cabut bantuan pernafasan Angah.

28 June 2012 (Khamis)
Aku kerja. Jam 11.40 a.m. Kak Pdah, anak jiran telefon aku menerusi handphone emak.

" Adik, Angah dah tak ade"

Saat ni aku di bank. Aku terduduk dan terdiam. Aku hanya mampu ucap kalimah Syahadah dan pejam mata. Kira ini janji Angah semasa 4 bulan dalam kandungan emak. Aku redha. Aku halalkan segala apa yang aku bagi pada Angah. Aku maafkan segala kesilapan Angah pada aku. Aku doakan agar Angah dalam kalangan orang beriman disana.

Jenazah Angah dibawa balik ke Trolak atas permintaan emak dan ayah. Abang izinkan. Kami mandikan Angah. Orang yang paling kuat mandikan Angah adalah ibu mertua Angah. Adam adalah seorang anak lelaki ibu yang sangat berani. Dari saat Angah di mandikan, dikafankan, dan disolatkan dan dikebumikan. Adam sentiasa ada dengan ibunya. Cuma Kakak Alya, Kakak Ana dan Aleesya sahaja yang masih belum boleh terima kenyataan. Aku sempat ambilkan wudhuk untuk Angah. Saat aku sentuh muka dan dahi Angah. Aku rasa seperti Angah senyum pada aku.

Abang merupakan suami dan ayah yang tabah. Sepanjang Angah di hospital dan sepanjang proses pengebumian Angah, tidak setitik air mata Abang tumpah. Tapi saat Abang peluk Abang Pen sebelum pulang ke Klang. Abanng sempat bisikkan pada Abang Pen:

"Pendi, rindunya abang pada Angah"

Aku mohon agar kasih Abang pada Angah akan bawa ke Syurga.

p/s : Maaf kiranya aku tak menaip secara detail. Hanya ini yang mampu aku sampaikan dan coretkan buat kenangan kami sekeluarga.


with❤:izan®

Thursday, July 19, 2012

Saya baru belajar make up.

Hai, salam.

Actually benda ni dah berlaku Ahad lepas. Tapi baru nak post. Sebab busy. HAHA. Macam nak lempang kan kalau aku sebut busy. Malas sebenarnya. Aku belajar dari kawan masa dekat MRSM dulu. Kalau nak booking untuk make up tunang or kahwin boleh refer blog ni. Kalau nak aku yang make up gamaknya kena tunggu la ye. Sebab aku nak penuhkan kotak make up dulu. Kang make up orang tanpa keyakinan barang make up jadi ape pula kan. Nanti dah penuh aku kasi tayang pastu boleh la kan nak makeup orang. Pergh!

Aku tak sure kawan aku ni nak ke tak ajar orang lain. HAHA. Ayat macam bangga nak mampos. Sebenarnya aku yang paksa dengan sungguh-sungguh supaya kawan aku ni ajar aku. Dengan sedikit sogokan blueberry cheese tart yang aku buat sendiri bersama mira. Akhirnya rahsia andaman berjaya dikorek. Eceh! Konon banyak sangat la kan rahsia.

Mula-mula aku ajak ex-officemate aku untuk jadi model. Tapi masaing-masing ada hal. So aku ajak mira and ayin. Nasib kawan-kawan aku ni sporting and memberikan kepercayaan penuh kepada aku untuk menconteng arang ke muka mereka. Ha? Oh no, mentata rias muka diorang. Aku sogokkan juga mereka dengan kata-kata manis dan sedikit makanan ringan. HAHA

Memang kerja kau main sogok orang je la Izan oi. Sesungguhnya orang yang memberi dan menerima adalah dosa hukumnya. Tapi aku rasa niat aku adalah untuk membalas jasa diorang. So, aku namakan dengan sedekah. Semoga Allah redha.

Nah kau hasilnya.

Left : Mira. Right : Ayin.
Sehingga kotak make up aku penuh, so sampai sini sahaja segmen andaman kita. Bye.

with❤:izan®

Wednesday, July 18, 2012

Cantik sangat perangai.

Hai, salam.

Aku update dari office. Maaf kalau tiba-tiba entry aku tergantung. Mungkin boss aku masuk kerja after lunch. HAHA.

Sekarang aku ada habit yang sangat tak elok ye. Selalu gerak pergi kerja sangat lewat. Jam 8.45 baru nak gerak. Padahal perjalanan ke tempat kerja ambil masa dalam 30 minit. So, 9.15 pagi baru aku sampai parking bawah office. Sampai parking ye. Bukan sampai office. HAHA

Nasib la boss masuk kerja kul 10 pagi and nampak macam tak kisah je kan aku masuk lambat. Ke nampak je macam tak kisah, padahal dalam hati dia "Siap la kau budak, lepas je aku bersalin aku berhentikan kau kerja"

Jangan la gitu boss.

Eh, aku baru blaja make up. Dengan siapa? Muka siapa? Next entry ye. Kalau tak sabar boleh tengok kat fb. 

Bye!

with❤:izan®

Thursday, July 12, 2012

Angah (Part 4) - 2nd operation

Hai, salam.

Sambungan dari entry Angah (part 1), Angah (part 2) and Angah (part 3).

23 June 2012 (Sabtu)
Doctor just take about 30 minutes untuk sedut pendarah pada otak Angah. Selepas itu doktor ada berbincang dengan abang (suami Angah). Masa ni doktor kata bleeding pada otak Angah dah berhenti. Keadaan Angah stabil. Rasa syukur pada Maha Esa amat tinggi. Sesungguhnya Allah telah mendengar doa-doa kalian dan juga doa kami sekeluarga. 

24 June 2012 (Ahad)
Pada pagi Ahad bleeding pada otak Angah makin teruk. Pendarahan tak berhenti. Doktor terpaksa membuat second operation. Masa ni hanya Allah yang tahu. Bila aku terima sms jam 7.30 pagi dari nurse untuk minta waris tandatangan surat kebenaran untuk Angah masuk OT

Malam tu aku bawa mak balik rumah. Sebab esoknya kan Ahad. Abang pula balik tidur rumah adik dia kat Rawang. Malam sebelum abang balik Rawang doktor kata keadaan Angah stabil. So abang pon buat keputusan tidur dekat Rawang. Sebab abang pon tak berapa sihat. Demam. Nurse yang sms aku adalah salah seorang orang Trolak. Even dia bukanlah nurse yang ditugaskan untuk jaga Angah aku, tapi dia selalu update pape pasal Angah. Hanya Allah sahaja dapat membalas budi kau Dayah.

Kebetulan masa aku rushing nak bawa mak ke hospital, jalan dekat dataran merdeka tutup sebab ada larian amal. Abang pula hanya boleh sampai dalam masa sejam. Doktor dah call abang masa ni. Aku dengan mak pula tersangkut dekat dataran merdeka. Masa ni aku dengan mak dua-dua nanges sebab terperangkap dalam larian amal tu. Jam dah kul 9 pagi. Maknanya Angah dah dibiarkan sejam lebih tanpa doktor boleh buat apa-apa. Aku call Abang, katanya dah on the way. Abang sampai jam 9.15 pagi. 


Angah menjalani 2nd operation. YaAllah, beratnya dugaanMu YaAllah. Aku sampai di hospital jam 10 pagi dengan emak. Emak tak henti-henti baca al-quran dan mendiamkan diri. Mungkin mak rasa ralat tidur  dirumah aku. Maafkan adik mak. Pembedahan kedua Angah mengambil masa lebih kurang 6 jam. Doktor kata bleeding pada otak Angah tak berhenti. 

Kami dibenarkan melawat Angah. Kali ni aku kuatkan semangat. Aku nak juga tengok Angah. Aku kuatkan hati. Keadaan Angah makin kritikal. Pendarahan terus mengalir. Doctor masukkan tiub pada bahagian pembedahan. Darah terus mengalir. Tapi air susu masih diberi pada Angah. Semangat Angah masih kuat. Mungkin Angah pikirkan demi anak-anak Angah. Aleesya tak putus-putus tanyakan ibu. Aku tak mampu jawab pape. Hanya Acik yang kuat katakan pada Aleesya :

" Ibu sakit dik, ibu tidur."

Sayunya hati aku melihat anak kecil ini.

Mungkin sampai sini dulu. Lain hari aku kuatkan lagi hati ini untuk menaip.

with❤:izan®

Rahsia penjagaan badan (Badan aku je boleh buat macam ni)

Hai, Salam.

Sebenarnya aku nak update entry pasal cuci mata. Bukan cuci mata dalam pemikiran kuning eh. Betul-betul cuci mata pakai lotion. Tapi tak de gambar tak best la kan. So, aku update pasal tu malam ni or esok je la eh. 

Entry hari ni pasal my new daily rutine. Pergh, baru start jog hari ni dah sibuk kau nak jaja cerita dalam blog. Ape peduli, aku punya suka la kan. Blog sapa? Blog mak jemah la..HAHAHA. Salah! Blog izan salleh la. Ha'ahhh! (Sila baca dengan style mak jemah di JOHARA pagi ERA).

Aku buat standard report sekolah rendah dulu je la eh. Malas nak menaip panjang-panjang.

6.15 pagi : Kejut Alan. Then aku tidur balik.
6.45 pagi : Bangun solat subuh. Siap-siap nak pergi JOGGING. (caps lock?)
7.00 pagi : start kereta pergi tasik.
7.15 pagi : sampai tasik and start JOGGING. (Caps lock again?)
7.45 pagi : Stop JOG. Balik rumah.
8.00 pagi : Siap-siap pergi kerja.
8.30 pagi : Gerak pergi kerja.
9.00 pagi : sampai office.
6.00 ptg  : Balik rumah.
7.00 ptg  : Dejavu di kinabalu. 
8.00 mlm : Mandi. Online. Tengok berita.
12.00 mlm : Tidur.

Kalau kau agak-agak nak sihat macam aku. Boleh la follow daily rutine aku ni. Kalau tak paham boleh call untuk set appointment mendapatkan khidmat nasihat aku. Itu pon kalau berani la. HAHA 


Lepas tengok gambar diatas mesti anda makin tertanya-tanya apakah rahsia penjagaan tubuh badan saya bukan? Jawapannya? 

Saya cukup kasih sayang. Alhamdulillah. 

p/s : I love you alls (style mak jemah again)

with❤:izan®

Wednesday, July 11, 2012

Resepi Pavlova-First try


Hai, salam.

Semua ni aku copy paste dari Kongsi Resepi. Sebab aku belum pernah buat lagi. Sabtu ni baru nak try. HAHAHA

Resepi Pavlova.

Bahan-bahan :

4 biji putih telur 
1 cawan gula kastor ( saya guna 3/4 cawan untuk mengurangkan manis)
1/2 sudu teh esen vanilla
1 sudu teh cuka masakan
1/2 sudu besar tepung jagung

Topping/hiasan :

1 cawan (240 ml ) whipping cream
1 1/2 sudu besar gula halus - saya pakai gula icing.
1/2 sudu teh esen vanilla

Tip sebelum membakar :

1- Pastikan (baca dengan nada garang. hihi) ketika mengasingkan antara telur putih dan kuning, tiada sedikit (langsung) telur kuning yang masuk dalam telur putih. Untuk memudahkan kerja, gunakan telur yang disimpan dalam peti sejuk. Telur yang sejuk, mudah untuk diasingkan antara kuning dan putih. Bila nak digunakan, pastikan putih telur berada dalam suhu bilik. Jangan guna masa telur masih sejuk.

2- Periksa peralatan yang digunakan bersih dari sebarang air dan kesan minyak. Lain la kalau korang tak kisah. Dalam hati duk kata," apasal la meringue aku tak bertanduk langsung." heh.

Cara-cara :

1- Pukul putih telur menggunakan hand mixer dengan kelajuan perlahan. Kalau ada stand mixer lagi senang. Tengok je. Tangan tak payah kerja. Pukul sehingga adunan menjadi 'soft peak form'. Apa eh istilah melayu dia.? 

2- Kemudian, dengan kelajuan yang tinggi, masukkan gula sudu demi sudu sambil terus putar adunan. Masa ni adunan akan bertukar menjadi putih tapi belum lagi berkilat. Bila pegang sedikit adunan di tangan terasa lagi gula yang belum hancur.

3- Teruskan memutar adunan dengan kelajuan tinggi sehingga bertukar menjadi putih berkilat. Bila diangkat dia akan mengeluarkan tanduk. Haha. Jangan risau. Ni tanduk bagus punya. Kalau dah bertanduk tu maknanya jadilah meringue. Jika belum, atau tanduk tak tajam dan belum mantap. Pukul lagi 2-3 minit. 

4- Masukkan esen vanilla dan pukul lagi sampai sebati.

Tanda meringue anda dah jadi ialah bila diangkat adunan akan menghasilkan tanduk yang tajam dihujung. Nak lebih yakin, telangkupkan bekas meringue atas kepala. Kalau tak jatuh tu confirm jadi. Agak-agak berani tak? ;)

5- Masukkan tepung jagung dan cuka. Gaulkan menggunakan spatula atau senduk kayu. Bukan senduk kari ye..! Kang ada pulak rasa kari dalam pavlova. 

6- Buatkan garisan bulat di atas kertas minyak(parchment paper). Saya gunakan tin kek yang bersaiz 7 inci. Zaapp. Dah jadi bulat. 

7- Bentukkan meringue mengikut bulatan yang kita lukis. Pastikan bahagian tepi lebih tinggi dari tengah. Konon macam tebing pendek la kan. Part ni saya tak buat. Saya buat cara saya sendiri. :)

Masa membakar :

1- Panaskan oven pada suhu 150' C. Saya panaskan 15 minit lebih awal. Letakkan rak di tengah bahagian oven. 

2- Masukkan adunan meringue. Dalam 15 minit, turunkan suhu kepada 140'C. Masak selama 1 jam. Pavlova dimasak dengan api yang sederhana panas. Bila api terlalu panas, luarnya akan garing tapi dalam tak masak. Bila api tak cukup panas pun tak kena juga. Kang lama pulak nak masak. Takkan nak berkampung depan oven sampai 2 jam? :)

Masak sehingga warna meringue bertukar menjadi coklat muda. Bila dipegang terasa garing di luar dan lembut bahagian dalam. Tutup api. Biarkan pintu oven sedikit terbuka. Jangan keluarkan meringue terus dari oven. Tunggu sehingga sejuk.

Cara menghias :

1- Pukul whipping cream dalam bekas sehingga kental. Satu petua nak mudahkan kerja. Masukkan bekas dalam peti ais bahagian beku selama 2-3 jam sebelum memukul whipping cream. 

2- Bila whipping cream dah kental. Masukkan gula dan esen vanila. Ini pendapat sayalah kan. Whipping cream tu dah manis. Sekiranya nak kurangkan atau tak masukkan gula pun tak jadi masalah. 

3- Masukkan whipped cream dalam plastik. Simpan dalam peti ais beku sekejap. Nanti bila nak deco baru keluarkan. 

Bila rasa nak makan, baru picitkan whipped cream dan hias dengan buah-buahan yang siap dipotong. Kalau hias awal sangat nanti takut pavlova tu berderai.

Sedia untuk dimakan.




with❤:izan®

Monday, July 09, 2012

Angah (Part 3) -Setelah pembedahan selesai

Hai, salam.

Sambungan dari entry Angah (Part 1) & Angah (Part 2)


22 June 2012 (Jumaat)
Pembedahan Angah mengambil masa selama 18jam lebih. Iaitu selesai dalam lebih kurang jam 2.30 pagi esoknya (23 June 2012 pada pagi Sabtu). Malam tu aku bawa mak balik tidur rumah sewa aku. Sebab Abang tunggu sana. Dia kata tak pa la bawa balik mak. Mak pon demam tak sihat. So nanti pape perkembangan Angah, Abang akan mesej aku. Kalau balik rumah aku boleh la mak tidur dengan nyenyak sikit. Aku bawa balik mak lewat jam 9 lebih pada hari Jumaat malam Sabtu tu.

Masa dekat rumah sewa aku, mak dengan aku tak berapa boleh nak lena pon. Asyik tengok hp kot-kot ada mesej dari Abang. Masuk jam 2.30 pagi. Abang call aku. Kata operation dah selesai dan Abang dah pergi tengok Angah. Doc kata keadaan Angah stabil buat masa itu. Dan kami boleh tengok Angah esoknya (sabtu) di wad ICU. Aku dan emak bergilir-gilir bangun dan buat solat sunat syukur malam tu. Mak yang masih dalam keadaan demam gagahkan diri untuk sujud menyembah Allah atas rasa syukur kerana anak nya telah selamat menjalani pembedahan.

Hati ini berdebar dan rasa tak sabar nak tengok keadaan Angah. 


Lepas je dapat call dari Abang (23 June 2012, Sabtu), aku terus call ayah dekat Trolak. Sepanjang Angah berada di hospital Sungai Buloh, ayah hari-hari berulang dari Trolak ke hospital. Aku ada pelawa ayah untuk tidur dirumah sewa aku. Esok pagi sebelum aku pergi kerja aku boleh hantar ayah dan emak ke hospital, petang lepas balik kerja aku boleh bawa balik diorang kat rumah aku balik. Tapi ayah kata dia ada urusan di Trolak. Aku paham, Ayah membanting tulang untuk memastikan kami hidup senang. Aku paham, hati ayah sentiasa ingatkan Angah. Doa ayah sentiasa bersama Angah.

Lepas call ayah, mak pesan pada ayah, suruh wat doa selamat di kedai makan ayah selalu minum pagi dengan kawan-kawan. Belanja kawan-kawan ayah yang minum sama-sama. Minta doakan supaya angah sedar dan sihat seperti biasa.

23 June 2012 (sabtu)
Semasa dalam perjalanan untuk ke hospital, sekali lagi aku cakap dengan emak :

"Mak, adik tak nak tengok la Angah. Adik tak kuat"

Emak :

"Tak nak tengok tak payah tengok. Mak nak tengok"

Tapi tu hanya kata-kata. Dalam hati aku meronta nak tengok Angah.

Jam 12.30 baru boleh melawat. So aku biarkan emak pergi tengok Angah dulu.Selepas emak tengok Angah, Abang cakap doktor nak scan. Sebab ada pendarah pada otak Angah. Keadaan Angah sedikit bermasalah. Menurut nurse yang menjaga Angah, bleeding pada bahagian pembedahan tak berhenti. Doktor akan menyedut pendarahan pada bahagian otak Angah. proses ini hanya mengambil masa 30 minit menurut Abang yang telah berbincang dengan doktor.

Aku tunggu selepas semuanya selesai. Jam 2 petang baru aku boleh masuk tengok Angah. Aku beranikan juga diri masuk dalam ICU untuk tengok keadaan Angah. Rambut Angah dibotakkan untuk menyenangkan pembedahan. Pada bahagian atas kepala Angah ade kesan cucukan jarum. Lebih dari 2 kesan. Sebelah atas kiri aku nampak ada tampalan kapas putih yang menutup bahagian pembedahan. Panjang dalam setengah jengkal. Mata Angah tertutup rapat. Hidung Angah disumbatkan dengan saluran pernafasan dan saluran air susu. Mulut Angah dimasukkan saluran oksigen. Tangan kiri dan kanan di cucuk dengan apa aku pon tak tahu. Tangan Angah membengkak mungkin kesan dari air yang masuk dan ubat.

Hati aku sebagai seorang adik, yang mana semua masalah aku sampaikan pada Angah. Bila aku lihat keadaan  Angah macam tu, hati aku jadi remuk. Aku kuatkan kaki untuk berdiri. Aku capai tangan Angah, aku salam dan aku cium. Pipi Angah aku cium berkali-kali. Aku tahan air mata supaya tidak tumpah. Sebak melihat keadaan kakak ku yang dulu masakkan aku pelbagai jenis kek, biskut, dan masakan yang aku tak pernah rasa sebelum ni. Kakak ku yang membelikan aku pelbagai jenis buku latihan saat aku hendak menghadapi UPSR,PMR dan SPM. Kakak ku yang memberikan aku semangat untuk terus menghadapi saat genting putus cinta semasa di matrik. Dan kakak ku yang sentiasa menyokong aku semasa aku di UKM.

Namun ternyata aku tak kuat. Saat aku cium pipi Angah, air mata aku tumpah juga. Aku dapat rasakan seperti Angah tahu kedatangan aku. Aku cium lagi pipi Angah.

Hari selepas Angah selesai pembedahan, ramai teman Uitm dan kawan-kawan Angah bertanyakan waktu melawat. Sepanjang emak, ayah dan kami adik beradik di sana, ramai kawan-kawan, saudara-mara dan sahabat Angah yang datang melawat. Keluarga sebelah abang pon ramai yang datang. Ibu mertua Angah juga seperti emak. Tak lekang dari menunggu Angah di sana. Saat ini hanya doa yang kami sekeluarga pinta untuk Angah kembali sedar.




Aku berhenti sampai sini dahulu. Hati aku tidak kuat untuk terus menaip. Al-fatehah buat Angah.

with❤:izan®

My Beauty Diary (Kalau nak tengok muka aku pakai mask boleh klik)

Hai, salam.

Bagaimana nak jaga muka? Macam pelik pula kan kalau tanya kat aku yang muka macam kawah bulan ni. Tapi apa aku kisah, nak jugak buat entry pasal skincare apa aku pakai. HAHA. Sebab tengok ramai nya post pasal mask from korea la japan la, aku rasa macam tercabar je nak try. Kan awek-awek korea and japan ni cun-cun. Nak juga la jadi cun macam diorang. (padahal kau tak tahu ke izan oi berapa banyak palsu dari betul kat muka diorang tu).

Lantak lah kan palsu ke betul, yang pasti diorang cute and cun. Kulit tu mulus and gebu-gebu je aku tengok. HAHA. Dasar tipikal perempuan betul la kau ni izan oi. Tipikal pon tipikal la. Dah memang perempuan sifatnya macam tu ye dak? Tak nak kalah punya pasal, aku gigihkan diri pergi guardian kat bawah office semata-mata nak cun macam aweks Korea and Japan.

Holoh-holoh, cute kan? Well kata nak korea. HAHA
Sekali mask from Japan la. Tak pe, lebih kurang je kan.
Packaging dalam pon cute!

Dah puas aku pilih punya pilih, aku ambil la untuk WHITENING and SMOOTHING. Pergh, kau nak putih and gebu. Muka aku kan kuning-kuning langsat gitu, nak usaha la bagi putih sikit. HAHA. Tang gebu tu memang nak kena usaha bagi lebih. Tak pernah gebu sejak akil baligh.

Lets try bebeh!

Nah kau. Muka kalah bulan mengambang.
Tempak dan biarkan selama 20-30 minit.
Pejam mata, rest and releks.
Tara!
Okey. Dah feeling cun. Bye! HAHA


with❤:izan®

Sunday, July 08, 2012

Angah (Part 2) -Angah akan dibedah

Hai salam.

Sambungan dari entry Part 1.

Lepas je aku dapat whatsapp dari husband Angah (Abang). Aku terus reply.

"Kenapa?"

"nk wat operation ke?"

Sebab masa ni kitorang dah tahu Angah ada ketumbuhan. Rupanya hari Rabu lagi Angah aku dah masuk hospital Klang. Mak kata dari pagi rabu Angah dah muntah-muntah sampai lembik tak boleh nak makan apa-apa lagi. Masa mak sidai baju dekat depan rumah Angah, mak dengar Angah menjerit dan bunyi benda jatuh. Angah terjelepok tepi bilik air bawah. Mak aku papah dan bawa Angah ke ruang tamu.

Lepas je Ana (anak ke-2) Angah aku balik sekolah, mak aku minta Ana call Abang untuk bawa Angah ke hospital Klang. Sampai hospital Klang, doc pakar otak tak de kat sana. Diorang suruh transfer Angah aku ke hospital Sungai Buloh. Sebab kat sana ada pakar otak. Lagipon Angah dah buat mri. So menyenangkan lagi kerja diorang refer pada report mri Angah. Berbalik kepada soalan aku tadi, abang reply :

"Ya..insyaallah esok. doc blum panggil lagi nk bincang. mlm tadi doc yg bertugas ada brief sikit"

21 June 2012 (Khamis)
Lepas je balik kerja, Aku terus ke hospital Sungai Buloh. Mak aku tidur sana malam khamis tu. Menurut emak, sepanjang perjalanan ke hospital menaiki ambulans Angah sakit sampai air liur Angah meleleh. Mak lap dan tenangkan Angah. Kuatnya hati seorang wanita bergelar emak. Menaiki ambulans bukanlah seselesa yang disangka. Dengan kelajuan ambulan membuatkan emak melambung-lambung di dalam sana. Tabahnya hati emak.

Sampai dihospital, Angah ditempatkan diwad biasa. Kami masih boleh melawat. Angah pesan pada emak, siapa yang datang dia nak jumpa. Seperti tahu bahawa selepas pembedahan dia tak mampu melihat sesiapa lagi. Pada masa ini aku dan keluarga lansung tak pikir apa-apa kemungkinan yang negative. Bagi kami pembedahan Angah akan berjaya. Kemudian Angah akan recover dari pembedahan dan kami akan melihat Angah sihat kembali. Sebab doc masih belum kenalpasti ketumbuhan Angah agresif atau tidak.

Kiranya agresif ini bermakna Angah akan menjalani kimoterapi lepas pembedahan. Tak pe, kami boleh bantu Angah sedaya mungkin. Yang kami hanya minta moga pembedahan berjaya dan Angah sedar.

Masa perjalanan nak melihat Angah, hati aku berdebar kencang. Aku tak pasti samada aku mampu melihat Angah atau tidak. Aku katakan pada emak :

"Adik tak nak tengok Angah la, boleh tak? Adik takut adik tak kuat. Nanti adik nanges."

Mak kata :

"pergi la, Angah pesan siapa je datang dia nak jumpa"

Aku kuatkan hati. Kuatkan langkah untuk melihat keadaan Angah. Sesampai di wad, Angah ditemani suami (Abang) dan sepupu Abang. Angah senyum tapi mengerutkan dahi. Aku tak pasti samada Angah kurang nampak aku atau tak boleh nak kenalpasti aku. Lalu Abang bisikkan pada Angah :

"Adik datang la yang"

Aku capai tangan Angah dan cium pipinya seperti biasa kalau aku jumpa Angah. Aku cuba tahan air mata yang makin panas berebut hendak keluar dari mata. Aku buat lawak seperti biasa. 

"Angah macam pakai baju penjara la..HAHAHA"

Angah turut tersenyum dan balas :

"dah sakit kena la pakai baju macam ni..HAHAHA"

Aku tak mampu memberi kata-kata semangat atau apa sahaja perkataan yang boleh buat Angah sihat. Yang aku mampu hanyalah buat Angah ketawa. Memang dari dulu Angah kata aku badut dia. Suka buat dia gelak. Sekejap saja aku mampu teman Angah. Aku tak mahu Angah tengok aku menangis. Aku capai tangan Angah dan cium. Minta izin nak jumpa mak dan memberi alasan nak solat. Perjalanan ke balai pelawat untuk jumpa emak ditemani air mata yang meleleh tanpa aku mampu tahan lagi.

Aku tak gamak melihat badan Angah di saluti wayar merata. Tangan Angah berbekas di cucuk jarum. Samada baru atau lama. Begitu banyak bekas. Angah cengkung tapi masih mampu senyum. Memang Angah murah dengan senyuman. Dari dulu itu yang aku suka dengan Angah. Senyuman Angah boleh buat aku kuat.

22 June 2012 (Jumaat)
Esok pagi aku pergi kerja dan Angah memasuki operation theatre (OT) seawal jam 8.40 pagi menurut mesej dari Abang. 

Jasad aku di office. Namun roh aku sentiasa di hospital.


with❤:izan®

Friday, July 06, 2012

Angah (Part 1) -Angah masuk ward

Hai, salam.

Pertama sekali aku bukan membuat entry ini untuk menagih simpati atau belas kasihan sesiapa. Hanya untuk meluahkan dan berkongsi cerita rentetan pemergian Angah buat selamanya dari dunia. Semoga kami berjumpa kembali di akhirat sana.

Pada hari ahad, 17 June 2012 jam 10.24 pagi Angah whatsapp aku.

"Bawa durian n manggis tak lupa MAK sekali tau"

Betapa Angah ingin mak ikut sekali. Hujung minggu tu aku balik Trolak. Memang plannya nak bawa mak pergi rumah Angah di Klang. Sebab Angah memang dah tak larat nak masak and tengokkan anak-anak. Sakit kepala dia teruk sangat katanya. Masa ni Angah dah buat MRI scan. Kata doktor memang ada ketumbuhan pada otak Angah. Serius atau tidak sahaja belum diketahui. Angah buat scan MRI ni pada hari Jumaat, 15 June 2012.

Lepas minta izin ayah untuk bawa mak pergi rumah Angah, mak pon dah minta izin ayah. Ayah kata :

"terpulang la, pergi la tengok-tengok kan Angah". 

So memang petang ahad tu aku bawa balik durian and manggis satu kereta untuk Angah dan anak-anaknya. Angah ada kat rumah mertua dia masa aku hantar mak. Kebetulan rumah mertua Angah dengan rumah Angah dekat. Dalam satu area. 15 minit dah boleh sampai. Aku terus hantar mak ke sana. 

Nampak Angah lesu sangat. Tapi masih mampu berjalan menyambut kedatangan aku dan emak. Aku salam tangan Angah dan cium pipinya. Kurus dari aku. Sebab seluar lama-lama aku semua aku bagi dekat Angah. Ye la dulu kan pinggang aku 25 ja. Sekarang 29 pon kadang kala tak muat. 

Lepas tinggalkan mak dekat sana, aku call pada hari Isnin sahaja. Tanya keadaan mak dan Angah macam mana. Mak kata macam biasa la, sakit kepala tu memang selalu sakit la. Nasib la mak ada untuk picit-picitkan Angah, tengokkan anak-anak Angah dan masak tuk suami Angah (Abg Farizal) dan anak-anak Angah. 

Mak kata Angah bukan la jenis yang suka merengek kalau dia sakit. Tapi masa mak jaga Angah dari Ahad-Rabu Angah asyik merengek ja. Mak kata kalau sakit sangat baru dia macam tu. Maknanya memang Angah sakit sangat.

"Mak, sakitnya kepala Angah ni mak"

Sampaikan mak aku memang tak tahu nak tolong macam mana. Melainkan picit and temankan Angah. Sabarkan Angah dan ingatkan Angah pada Allah. Allah takkan menguji hambaNya kalau hambaNya tak mampu untuk menghadapi ujianNYa.

Then pada hari Khamis (21 June 2012) aku terima whatsapp dari Abg Farizal.

 "Angah dh msuk hospital kat sungai buloh..wad 7b mlm tadi.."

p/s: sampai sini dulu untuk tatapan anak-anak aku kelak dan anak-anak Angah. 


with❤:izan®

Wednesday, July 04, 2012

Tuesday, July 03, 2012

Braces 3rd Month

Hai, salam.

Braces pada bulan ketiga. Yeay! Alhamdulillah, akhirnya doc pasang juga yang belah bawah. Kan selama ni braces sebelah atas aje. Bila dah pasang yang bawah ni, rasa balik la macam first time pakai dulu. Nasib la doc aku ni pasang tak serentak. Kalau serentak dulu, ha kau bayang sendiri la sakit macam mana kan. 

One of my cousin pon dah pakai, Siap kena cabut 4 batang gigi sekaligus. Oh my Allah. Nasib la gigi aku tak kena cabut walau sebatang. Alhamdulillah. Semuanya dengan perancangan Allah. Alhamdulillah once again.

Braces pada bulan ketiga ni, amat teruja. Sebab dengan ini I am fully braces. Pergh, English kau kalau bawa pergi London boleh kena halau. HAHAHA. So, aku pilih band jernih. Kenapa jernih? Sebab gigi bawah aku adalah sebatang dua yang senget kedudukannya. Untuk mengurangkan kenampakan ketidakcantikan susunan braces tu, aku pilih band warna jernih. Kalau bahasa melayu macam ni pon silap haribulan kau boleh kene buang negeri. Ada hati kau dah pakai braces still nak nampak cantik. Padahal sama ja kot.

Gambar? Harap maaf. Aku tak nak letak. *pengsan la kalau aku TAK NAK LETAK*. Laptop buat hal lagi. Aku tak boleh nak transfer gambar. Nanti balik kerja if aku ingat aku tempek okey. Kalau nak cepat boleh tengok kat instagram aku. Melambak aku jaja kat sana.

p/s: Kerja tempat baru yang dah nak masuk bulan kedua ni memang relek. Masuk kerja online. Hujung bulan gaji masuk. HAHA

with❤:izan®

Monday, July 02, 2012

Perginya dari dunia, namum masih kekal dijiwa.

Hai, salam.

Aku tak pasti samada aku kuat atau tidak menghabiskan entry ini.

Tarikh 28hb Jun 2012 akan menjadi tarikh yang akan aku ingati. Perginya Angah, kakak yang paling rapat dengan aku. Perginya Angah buat selamanya, namun kenangan aku dengan Angah sampai bila-bila melekat dijiwa. Perginya Angah meninggalkan suami yang mencintainya dan 4 orang anak yang masih menagih kasih seorang ibu.

Angah merupakan anak kedua dalam keluarga. Kakak pertama dan anak perempuan pertama untuk emak dan ayah. Angah berkahwin seawal usia 23 tahun. Dikurniakan 3 orang anak perempuan dan seorang anak lelaki. Menghabiskan diploma di ITM, dan menyambung Ijazah di UiTM Shah Alam. Anak pertama emak dan ayah yang berjaya menbawa pulang segulung ijazah. Masih ingat betapa gembiranya hati emak dan ayah saat menghadiri majlis konvokesyen Angah. Yang mana saat itu Angah sudah punya anak satu.

Angah merupakan anak,adik dan kakak yang paling mengingati semua tarikh-tarikh penting dalam keluarga. Ulang tahun kelahiran, perkahwinan, perkenalan dan semua jenis tarikh Angah ingat dan akan mengingati kami yang lain supaya kami saling mengucapkan selamat antara satu sama lain. Tiap kali hari lahir aku, Angah akan usahakan supaya dia hadiahkan aku something. Antara hadiah yang aku paling ingat, kek yang Angah buat sendiri. 

Kalau nak buat family day, Angah adalah orang yang paling sibuk plan macam-macam sepanjang percutian. Angah akan usaha untuk jadikah percutian kami seronok. Hanya dengan gelak tawa Angah, kami boleh terhibur.

Angah merupakan penadah telinga untuk aku luahkan masalah dah cerita. Dari cerita bab cinta, kerja dan apa saja semua Angah akan beri tumpuan. Bagi Angah, aku merupakan adik yang paling banyak bicara, paling banyak mulut dan kepochi. Kalau aku cakap je nak pergi rumah dia hujung minggu, kalut la dia masak bukan-bukan nak bagi adik dia yang kuat makan ni makan.

Kalau nak dicertitakan semua dalam entry pasal Angah, mungkin tak kan cukup. Kerana aku hidup bersama Angah selama 23 tahun usiaku. Dari aku kecil hingga sekarang. Mana mungkin semuanya boleh diceritakan dalam satu entry. 

Kalau aku punya kekuatan untuk bercerita bagaimana rentetan sebelum Angah pergi tinggalkan kami di dunia yang sementara akan aku buat hari demi hari. Mohon kekuatan itu ada, untuk tatapan anak-anak Angah kelak dan mungkin anak-anak aku nanti. Supaya mereka kenal siapa Mak Ngah mereka.

p/s: al-fatehah


with❤:izan®